Sunday, September 13, 2009

Farid Kamil Mahukan Penjelasan



Walaupun telah mengorak langkah lebih jauh dalam industri perfileman dengan mengarah filem pertamanya di bawah Metrowealth berjudul V3 Samseng Jalanan. Nasib kelihatan tidak menyebelahi anak kelahiran Kedah ini apabila filem pertama arahan beliau diharamkan penyiarannya. Tetap menegakkan pendiriannya mahukan penjelasan lanjut daripada pihak terlibat.


"Saya mengharapkan satu alasan yang munasabah jika benar filem itu tidak boleh ditayangkan kepada umum. Diharap jawapan tersebut biarlah logik supaya saya boleh jelaskan kepada orang ramai sebab sebenar.

"David pernah berseloroh menyuruh saya menyimpan sahaja filem tersebut dalam peti ais. Apa yang saya tahu, filem ini tidak mendapat sebarang kelulusan kerana ianya masih di peringkat pemantauan. Saya akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk berbincang lanjut.

"Saya masih tidak berpuas hati kerana pengharaman dibuat tanpa sebarang dokumen hitam putih. Filem saya dinilai dua kali namun ianya tetap diharamkan," ujar Farid meluahkan rasa tidak puas hati kepada ManggaOnline.

Namun di sebalik pengharaman itu, Farid mengambil iktibar dan pengalaman daripada Aziz M.Osman di mana pengarah tersebut juga pernah mengalami nasib yang serupa di awal pembabitan beliau dalam pengarahan filem.

"Kena ban adalah perkara biasa. Mungkin saya juga harus hadapi perkara yang sama macam Aziz M.Osman," ujar Farid yang telahpun membentangkan projek filem beliau seterusnya.



Walaupun sehingga kini telah membintangi filem di antaranya Anak Halal, Rempit, Estet dan sebagainya, Farid Kamil mengakui dirinya masih memerlukan bimbingan pelakon senior untuk memajukan kariernya. Bak resmi padi, semakin berisi semakin menunduk, begitu juga dengan bekas pelajar UITM Shah Alam ini, mengakui dirinya tidak mampu melihat lakonan sendiri di dalam setiap filem yang dibintanginya.

"Makin lama saya jadi malu bila lihat lakonan sendiri terutama dalam filem Estet. Saya pun tak pasti kenapa, yang pastinya banyak yang perlu diimprove setakat ni.

"Dari dulu sebenarnya saya malu tapi pendamkan sajalah sebab saya baru lagi dan taknak banyak cerita," ujar Farid Kamil berseloroh.

Pengalaman Raya

"Pernah ketika saya di tingkatan empat, saya excited sangat nak pakai baju raya malam sebelum Aidilfitri. Nak dijadikan cerita saya terjatuh motor pada malam itu dan habis baju raya saya koyak. Terpaksalah pakai juga baju yang sama di pagi raya kerana itulah satu-satunya baju yang saya ada.

"Tahun ini saya akan balik kampung tanpa insan istimewa, mak saya pun suruh habiskan degree dulu then baru fikir pasal kahwin. Saya target umur 30 baru saya akan berumahtangga," ujarnya yang akan beraya bersama keluarga di Alor Setar.

Aliff aziz mohon maaf tentang isu cium

Dalam menjalani ibadah puasa ini, tiba-tiba industri hiburan dikejutkan dengan berita panas yang cukup mengejutkan. Semuanya gara-gara penyebaran gambar ‘terlampau’ Aliff Aziz di internet dengan seorang wanita yang tidak dikenali. Kepada yang masih tidak tahu, gambar itu mempamerkan aksi Aliff bercium dengan seorang wanita yang kelihatan agak berusia daripadanya.

Pasti ramai yang tidak sangka penyanyi kelahiran Singapura yang nampak seperti budak baik ini boleh terlibat dengan perkara sebegitu. Jadi, hendak tahu apa reaksi Aliff dengan penyebaran gambar-gambar tersebut? Ketika dihubungi, Aliff mengakui gambar-gambar tersebut memang dirinya dan dia berasa cukup menyesal dengan apa yang telah terjadi.


“Saya akui yang saya telah melakukan kesilapan yang cukup besar. Sejujurnya, saya berasa amat menyesal dengan apa yang telah terjadi. Memang sukar untuk saya gambarkan betapa menyesalnya saya dengan luahan kata-kata, tetapi saya amat berharap semua pihak yang tersinggung dapat memaafkan saya,” luah Aliff dengan nada cukup kesal.
Apabila ditanya tentang wanita di dalam gambar tersebut, Aliff enggan mengulas lebih lanjut.
“Sebenarnya saya tidak mahu menjelaskan perkara ini secara terperinci kerana saya tidak mahu panjang-panjangkannya. Siapa wanita dalam gambar itu tidak penting. Lagipun saya juga tidak begitu mengingati di mana dan bila gambar ini diambil. Mungkin dua atau tiga bulan lepas. Apa yang pasti ia berlaku di Singapura.
“Selain itu, saya juga tidak mahu menyalahkan sesiapa dengan penyebaran gambar-gambar itu. Saya tidak mahu cakap sama ada ini adalah sabotaj atau kerana sifat dengki seseorang. Saya yang bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang terjadi. Sebab itulah, saya benar-benar kesal dan mengharapkan peminat-peminat saya dapat memaafkan diri ini.
“Sebagai manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Insiden ini pasti akan saya ingati sampai bila-bila. Saya akan jadikannya pengajaran dan pastikan perkara sebegini tidak akan berulang. Ini adalah yang pertama dan terakhir,” janji Aliff lagi.
Diharapkan dengan penjelasan Aliff ini, peminat-peminat di luar sana dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya. Untuk pengetahuan semua Aliff sekarang ini sedang berada di Kuala Lumpur kerana sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbarunya.

Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, Aliff ingin menyampaikan salam Aidilfitrinya kepada semua dan berharap sempena bulan yang mulia ini semua pihak dapat memaafkan dirinya dan sentiasa menyokong karier seninya.

Umie Aida dan Erra fazira jual air..


Semalam (13/04/2009) bersamaan dengan 23 Ramadhan 1430 Hijrah, di Kampung Baru, Erra dan pelakon Umie Aida menjayakan acara 'Istimewa Bersama Erra Fazira dan Umie Aida D' Gerai Juz Jumbo Suria FM dari 5.30p.m. hingga 6.30p.m. Kehadiran dua selebriti tersebut telah memecahkan rekod jualan minuman empat jenis perisa strawberi, laici, kiwi dan mangga.

Menurut Engku Emran yang turut hadir menjayakan acara tersebut, sebanyak 350 cawan dijual dalam tempoh sejam kehadiran isteri dan Umie tersebut.
"Orang ramai memberikan sambutan yang sangat menggalakkan hari ini sampai cawan dan air habis dijual," katanya.



Tuesday, September 8, 2009

Ashraff Muslim raya di Mekah

Pelakon Ashraff Muslim sekarang sedang mengerjakan umrah dan ziarah di Mekah dan Madinah. Ashraff bukan sahaja boleh merasai nikmat berpuasa di tanah suci yang dipenuhi manusia dari seluruh dunia, malah dia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti di sana.



Ashraff akui sejak kecil lagi sudah menyimpan hasrat untuk ke Mekah. Kini apa yang diidamkannya sudah menjadi kenyataan.

"Alhamdulillah apabila ada rakan yang tahu saya ingin ke tanah suci, mereka turut memberi panduan kepada saya agar tidak menghadapai masalah semasa di sana," kata Ashraff kepada Mangga Online beberapa hari sebelum berangkat.

Ashraff berangkat ke Madinah dahulu pada 6 September lalu. Setelah beberapa hari menziarah makam Nabi Muhammad S.A.W di Masjid Nabawi dan tempat-tempat bersejarah di Madinah, Ashraff dan rombongan Andalusia Travel ke Mekah pula untuk mengerjakan umrah.

Ashraff juga bercerita kepada Mama Juwie pasal persediaannya mengerjakan umrah yang disiarkan dalam majalah Mangga keluaran terbaru (Oktober 2009). Kalau ada yang rindu dengan tulisan Mama Juwie boleh mendapatkan majalah Mangga kerana Mama kembali sebagai penulis tamu majalah hiburan untuk remaja itu.

Mangga juga kembali dengan wajah baru dengan pengisian yang merangkumi pelbagai topik termasuk kisah masyarakat dan kisah-kisah teladan. Antaranya kisah penyesalan seorang pelacur tua di sebuah negeri.

Monday, September 7, 2009

Cico Akui Masih Bersosial



Walaupun telah bergelar bapa kepada seorang anak, Cico Harahap mengakui kehidupannya masih tidak banyak berubah berbanding dulu.

"Jika dulu saya sering ke kelab hiburan untuk melepaskan tekanan, sekarang kehidupan saya masih begitu. Namun saya mengamalkan cara hidup yang sihat dan tak mengambil benda yang tidak sepatutnya.

"Saya juga tak mengambil kisah apa orang nak cakap kerana saya happy dengan kehidupan sekarang dikelilingi isteri dan anak tercinta," akui Cico jujur.

Beliau mengakui hakikat dirinya kini terikat dengan tanggungjawab antara keluarga dan juga karier, namun seronok dengan tugas baru yang digalas selepas dikurniakan anak perempuan lapan bulan lalu, Rindu Norfitrah.

"Keluarga buatkan hidup saya semakin sempurna dan bermakna. Rindu buat saya sentiasa melekat di rumah, jika keluar sekalipun pasti hati meronta-ronta nak balik rumah. Jika rindu sangat saya akan menelefon hanya untuk mendengar suaranya. Nama Rindu diberi kerana kami sekeluarga amat gemarkan perkataan klasik.

"Alhamdulillah, walaupun isteri baru pertama kali menunaikan ibadat puasa, namun dia tak banyak karenah dan mengikut apa yang ditetapkan Islam. Isteri berasal dari Thailand dan dia faham Bahasa Melayu tapi masih tak dapat menuturkannya dengan baik," tutur Cico yang merancang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama ibu dan keluarganya.

Walaupun baru dua tahun mendirikan mahligai dan dikurniakan seorang cahayamata, namun Cico menjelaskan beliau berserah sepenuhnya kepada Allah soal zuriat dan tidak pernah meletakkan sebarang target kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi.

"Dulu ibu saya juga begitu, merancang untuk mendapatkan anak yang ramai namun tak ada rezeki. Jadilah saya anak tunggal dan memang saya tak dapat lari daripada perasaan sunyi bila berseorangan," ujarnya yang kini aktif berlakon dalam Biru Cinta Laguna, Teater Mahsuri dan Rias Mutiara.

Sunday, September 6, 2009

Sharifah Amani dan gavin bercinta

Pendedahan ini di buat Sharifah Amani sendiri, menurut laporan Harian Metro edisi 6 September 2009 - 'Amani pilih mat saleh'. Bibit-bibit percintaan mereka bermula ketika penggambaran filem epik 'Hikayat Merong Mahawangsa' terbitan KRU Studios. Gavin Stenhouse memainkan watak Putera Roman sementara Nani pula bertugas sebagai pembantu pengarah lagak ngeri.






Nampak gayanya, Gavin benar-benar serius untuk mempelajari tentang agama Islam dan budaya Melayu apabila di kongsi Nani yang jejaka Scottish-Welsh itu belum lagi gagal berpuasa. Malah dia akan bersama Nani sekeluarga menyambut Hari Raya. Sudah ditempah pun sepasang baju Melayu.



Friday, September 4, 2009

Maizawati Kini Rakam Lagu


Kini nama Maizawati Zainal juga dikenali ramai. Daripada seorang suri rumah biasa, Maizawati atau Myza menjadi sebutan peminat hiburan. Apatah lagi kisahnya beberapa kali menjadi paparan muka depan akhbar. Semuanya gara-gara krisis rumah tangga dengan pendakwah dan penyanyi terkenal Akhil Hayy sehingga membawa kepada perceraian mereka. Akhil akhirnya menikahi Waheeda, wanita yang disebut oleh Myza sebagai penyebab keruntuhan rumah tangga Myza. Namun dinafikan oleh Akhil sebelum ini.







Nampaknya Myza juga memilih bidang seni sebagai penyambung kehidupannya. Sejauh mana kemampuan Myza tidak bolehlah dibuat penghakiman sekarang sebab produknya belum dihasilkan. Tunggulah apabila album yang berkonsep world music itu siap. Nampaknya Myza akan berentap dengan Waheeda sebab konsep muzik yang sama. Myza juga menyelitkan sebuah lagu bertema hari raya dalam album sulungnya yang bakal dipasarkan tidak lama lagi. Beliau memulakan rakaman pada 2 September lalu.