Monday, September 7, 2009

Cico Akui Masih Bersosial



Walaupun telah bergelar bapa kepada seorang anak, Cico Harahap mengakui kehidupannya masih tidak banyak berubah berbanding dulu.

"Jika dulu saya sering ke kelab hiburan untuk melepaskan tekanan, sekarang kehidupan saya masih begitu. Namun saya mengamalkan cara hidup yang sihat dan tak mengambil benda yang tidak sepatutnya.

"Saya juga tak mengambil kisah apa orang nak cakap kerana saya happy dengan kehidupan sekarang dikelilingi isteri dan anak tercinta," akui Cico jujur.

Beliau mengakui hakikat dirinya kini terikat dengan tanggungjawab antara keluarga dan juga karier, namun seronok dengan tugas baru yang digalas selepas dikurniakan anak perempuan lapan bulan lalu, Rindu Norfitrah.

"Keluarga buatkan hidup saya semakin sempurna dan bermakna. Rindu buat saya sentiasa melekat di rumah, jika keluar sekalipun pasti hati meronta-ronta nak balik rumah. Jika rindu sangat saya akan menelefon hanya untuk mendengar suaranya. Nama Rindu diberi kerana kami sekeluarga amat gemarkan perkataan klasik.

"Alhamdulillah, walaupun isteri baru pertama kali menunaikan ibadat puasa, namun dia tak banyak karenah dan mengikut apa yang ditetapkan Islam. Isteri berasal dari Thailand dan dia faham Bahasa Melayu tapi masih tak dapat menuturkannya dengan baik," tutur Cico yang merancang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama ibu dan keluarganya.

Walaupun baru dua tahun mendirikan mahligai dan dikurniakan seorang cahayamata, namun Cico menjelaskan beliau berserah sepenuhnya kepada Allah soal zuriat dan tidak pernah meletakkan sebarang target kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi.

"Dulu ibu saya juga begitu, merancang untuk mendapatkan anak yang ramai namun tak ada rezeki. Jadilah saya anak tunggal dan memang saya tak dapat lari daripada perasaan sunyi bila berseorangan," ujarnya yang kini aktif berlakon dalam Biru Cinta Laguna, Teater Mahsuri dan Rias Mutiara.

No comments:

Post a Comment