Wednesday, September 16, 2009

Hubungan Kami Tak Dirancang Tapi Ikhlas


"Kalau ikutkan sudah beratus hari saya mencari isteri. Tapi bakal isteri saya memang hot," ujar Fahrin berseloroh.

Itulah kata-kata yang keluar dari mulut jejaka idaman Malaya, Fahrin Ahmad mengenai teman barunya, Scha Alyahya.


"Orang tua pernah berpesan kepada saya jika berkawan jangan lama-lama, nanti jadi perkara yang tak elok. Saya ambil iktibar daripada pengalaman lalu dan ada benarnya pesanan itu. Lagipun umur saya sudah 30 tahun, jika diberi pilihan saya akan tamatkan zaman bujang bersama Scha kurang daripada dua tahun.

"Setiap apa yang berlaku sebelum ini merupakan proses pembelajaran. Apa yang dapat disimpulkan hubungan kami berjalan tanpa dirancang namun ikhlas," ulas Fahrin jujur.

Fahrin antara teman yang paling memahami Scha tatkala temannya itu dirudum kesedihan dan sering dibayangi bekas teman tapi mesra Fahrin, Linda Onn.

"Memang saya sudah lali dikaitkan sebegitu rupa namun dalam hal ini, saya paling kasihankan Scha. Kenapa masih nak kaitkan dengan Linda sedangkan hubungan itu sudah lama terputus. Saya lihat tekanan media kepada Scha sangat berat. Nilai berita yang ada pada Scha sangat tinggi sehinggakan hampir setiap hari ada sahaja berita mengenainya dikeluarkan.

"Saya hanya mampu menyokong dan menasihatkannya ini adalah harga yang harus dibayar setelah bergelar artis. Namun janganlah sampai mengorbankan diri. Saya beritahu dia kalau awak tengok ini sudah cukup berat, akan ada lagi yang lebih hebat daripada ini," katanya yang berpakaian sedondon dengan Scha.

Hubungan cinta mereka dikuatkan lagi dengan gandingan bersama dalam Sehati Berdansa.

"Sejujurnya saya amat terperanjat apabila tahu akan digandingkan bersama Scha kerana saya ingatkan Linda Onn masih dikekalkan. Saya harap peminat dapat melihat ini dari sudut perkembangan positif dalam kerjaya kami berdua. Mungkin ini juga adalah kesinambungan daripada iklan Celcom kami namun saya bersyukur kerana masih dikekalkan.

"Saya memang agak resah apabila pihak Astro luahkan keinginan hasrat untuk mengambil Scha menggantikan Linda, namun saya serahkan kepada Scha untuk membuat keputusan. Cuma harapan terbesar agar perkara ini tidak dijadikan bahan spekulasi atau provokasi," kata Fahrin.

Fahrin menegaskan dirinya pernah melalui pengalaman yang mencabar dalam percintaan, dan tidak gusar jika terjadi perbalahan sekiranya digandingkan bersama.

"Jika cabaran dan dugaan berada pada tahap yang sama, saya pasti dapat pikul berdasarkan kepada pengalaman lalu," ujarnya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment