Wednesday, July 8, 2009

Chef Wan Dihargai!!!


Pakar masak terkemuka, Chef Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, telah dinobatkan sebagai Chef TV Selebriti Terbaik Dunia di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009 yang diadakan di Paris, awal bulan ini.Kejayaannya itu bersandarkan kemahiran Chef Wan memasak sambil menghiburkan penonton serta pengalamannya mengendalikan 6,000 rancangan masakan di kaca TV selama 25 tahun berkecimpung dalam dunia masakan.Malah keupayaan chef itu dalam memberi informasi dalam setiap program masakannya dengan gaya tersendiri dan bersahaja menjadi batu pengukur kejayaannya yang diadakan di Comedie Francaise itu. Personaliti Chef Wan yang peramah dan kelakar juga menjadikan beliau calon paling layak mendapat anugerah tersebut pada tahun ini.

Selain itu juga, buku masakannya Sajian Aidilfitri Bersama Chef Wan terbitan Avon Cosmetic Malaysia 2008 juga diiktiraf sebagai buku kutipan amal terbaik pada anugerah berkenaan selepas berjaya terjual sebanyak 150,000 naskah.Apa yang membanggakan, menerusi kategori berkenaan, Chef Wan menewaskan peserta lain dari 23 buah negara yang bertanding.Dalam satu kenyataan Chef Wan yang dikeluarkannya secara online, beliau memanjatkan rasa syukur dengan kejayaannya itu yang dianggapnya sebagai kejayaan di luar jangkaan."Wan rasa terharu ketika mendapat anugerah tersebut.



Tambahan pula ketika itu, Wan mengenakan Baju Melayu siap dengan sampin. Setelah 25 tahun dalam bidang ini, rasanya inilah saat yang sungguh membanggakan Wan," katanya.Pernah berlakon dalam 7 buah filem dan 4 teater, Chef Wan sebelum ini pernah mendapat anugerah fellowship dari University Thames Valley dan bertindak sebagai penasihat masakan Malaysia.



Anugerah World Gourmand Cookbook mula diperkenalkan pada tahun 1995 oleh penulis masakan terkenal Edouard Cointreau dalam memberi penghargaan kepada pakar masakan seluruh dunia selain mempromosikan buku-buku masakan dalam bahasa Inggeris, Cina, Jerman, Sepanyol dan Perancis.Tahun lalu, sebanyak 102 buah negara mengambil bahagian dan Perancis adalah bandaraya ke-3 yang menganjurkan anugerah berprestij ini selepas China dan United Kingdom (UK).

No comments:

Post a Comment